Sunday 26 February 2017

"BEZA KACA DENGAN AIR"

Kalau disebut berkenaan kaca dan air,pasti ramai yang yang teringat akan kisah Ratu Balqis dan Nabi Sulaiman.Kisah mereka sangat menarik sehingga membuka pancaindera manusia yang berada di setiap pelusuk dunia.Manusia telah diciptakan oleh Tuhan dengan sempurna beserta dengan sifat dan ragam mereka yang begitu berbeza.
Tetapi,apa yang dilihat baiknya manusia itu bukanlah dari segi bentuk fizikal dan rupa paras sahaja malah akhlak mereka itu sendiri mesti diberi penekanan.Perkara itulah yang disebut sebagai beza kaca dengan air.Kaca adalah sesuatu luaran yang berkilat dan boleh melihat apa yang ada disebaliknya.Kaca juga,apabila pecah sukar untuk dicantum semula.Begitulah manusia,yang cantik dan sempurna tidak semestinya boleh dijadikan kawan kerana apabila susah sukar untuk dicari.Lain pula dengan manusia yang mengambil ibrah daripada perciptaan air.Air adalah sesuatu yang sentiasa mengalir dan menyambung di mana sahaja ia pergi.Berdasarkan kepada pepatah yang mengatakan ,"air yang dicincang tidak akan putus" membawa makna yang mendalam dan bukan sahaja membawa maksud hanya kepada hubungan kekeluargaan malah juga membawa maksud hubungan sesama manusia.
Disamping itu,kita sebagai pelajar,orang yang mengajar,perdana menteri,raja dan semua yang berpangkat tinggi mestilah mempunyai semangat dan aliran yang sama seperti air kerana jika dilihat pada sifat air,ia betul-betul melambangkan kita sebagai manusia yang memerlukan kepada sikap kerjasama,tolong menolong dan saling memahami antara satu sama lain.
Seterusnya,jika kita lihat masyarakat pada masa kini mereka amat mementingkan diri sendiri berbanding rakan-rakan,keluarga dan orang lain.Kenapa ini boleh berlaku?adakah kita seorang sahaja yang tinggal di bumi ini?atau kita boleh tanam diri sendiri setelah kita mati nanti?.Semua soalan boleh ditujukan kepada mereka yang sombong dan tidak mempedulikan masyarakat sekeliling mereka.Sekolah didirikan adalah untuk mewujudkan manusia yang bertolak ansur dan bekerjasama dalam membina tamadun manusia yang berjaya dan kalau dikira secara sebetulnya betapa ramai lepasan sekolah,universiti dan pusat-pusat pengajian yang berjaya dengan mendapat kepujian dan sebagainya.Kearah manakah mereka pergi dan apa yang sedang mereka lakukan untuk negara dan masyarakat sekeliling mereka?.Persoalan sudah pasti boleh dijawab oleh diri anda sendiri.Saya hanya seorang yang memerhati dan menulis sahaja.Segala jawapan anda mungkin langsung tidak sama dengan saya.Anda lihat sendiri gaya hidup masyarakat kini dan bagaimana sekolah dan universiti menghasilkan produk mereka.Wallahualam.

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK ULAMA MENGHARAMKAN PERLEMBAGAAN TATAR YANG MENCAMPUR ADUKKAN AJARAN ISLAM DAN AGAMA LAIN

Tatar ialah satu kaum yang tinggal di Asia Tengah. Salah seorang rajanya bernama Gengis Khan. Mereka adalah kaum yang ganas dan suka berperang. Pengajian di sekolah-sekolah mereka adalah tentang ilmu peperangan seperti naik kuda, memanah, bergusti dan seumpamanya.
Tatar bercita-cita untuk menakluk dunia. Mereka keluar dari negerinya dan bermula dengan menyerang China, India, tanah Arab hingga ke sempadan benua Afrika.
Setelah Gengis Khan meninggal, kepimpinan Tatar diteruskan oleh anak-anak Gengis iaitu Kublai Khan dan Hulagu Khan. Kublai Khan menyerang empayar China dan juga India hingga jatuh. Hulagu pula masuk ke Baghdad menyerang pusat pemerintahan Islam di bawah khilafah Abasiyah.
Oleh kerana khalifah pada waktu itu leka dibuai hawa nafsu, tenggelam dengan harta dan perempuan, membiarkan maksiat berleluasa, tidak pedulikan pertahanan negara, maka Baghdad lumpuh diserang Tatar. Berjuta-juta umat Islam mati dibunuh. Darah mengalir merata-rata tempat sehingga Baghdad bertukar menjadi kolam darah. Bau mayat tidak hilang dalam tempoh empat tahun lamanya.
Dalam tempoh penaklukan Tatar, kaum itu telah menggubal satu perlembagaan yang dinamakan Yassa. Ia adalah hasil campuran agama Islam, Kristian dan Yahudi. Menjadikan hukum-hakam bercampur aduk antara halal dan haram.
Ulama-ulama pada waktu itu, antaranya Ibnu Kathir menyebut dalam tafsirnya bahawa haram kepada umat Islam menerima perlembagaan ini walaupun terdapat sebahagian ajaran Islam di dalamnya. Bahkan kalau percaya kepada perlembagaan tersebut, boleh murtad dan jatuh kafir.
Ini yang kita perlu faham. Tolak hukum-hakam al-Quran dan percaya kepada undang-undang lain boleh kafir walaupun masih solat, puasa, haji dan sebagainya. Ulama-ulama pada waktu itu memberi fatwa dengan sangat berani, tegas mempertahankan kesucian Islam.
Setelah menjatuhkan Baghdad, Hulagu masuk menakluk Syria, kemudian ke Palestin dan bersedia untuk menyerang Mesir. Mesir waktu itu diperintah oleh kerajaan Mamalik daripada keturunan hamba abdi. Mereka bercadang untuk memungut cukai dari rakyat bagi melawan Tatar. Namun Imam an-Nawawi dari Syria berfatwa bahawa haram memungut cukai selagi perbendaharaan negara masih ada. Begitu juga fatwa daripada Izzuddin bin Abdul Salam yang digelar sebagai Sultanul Ulama (Ulama yang menguasai sultan), mengharamkan cukai dikutip selagi mana harta-harta dalam istana, termasuk diri raja sendiri dijual untuk mempertahankan negara. Akhirnya kerajaan akur dan tidak memungut cukai.
Tidak lama selepas itu berlakulah peperangan Ain Jalut antara umat Islam Mesir dipimpin oleh Raja Zahir Baybars dengan tentera Tatar pimpinan Hulagu. Ain Jalut merupakan sebuah wilayah di Palestin. Umat Islam berjuang dengan membawa slogan “Wa Islamah”, bermakna “demi Islam”, “selamatkan Islam”, kerana Islam dalam bahaya.
Allah mentakdirkan kemenangan berpihak kepada Islam. Peristiwa itu telah mengejutkan dunia seluruhnya. Bagaimana Tatar yang mampu mengalahkan China, India dan hampir memerangi Eropah, tiba-tiba kalah dengan kerajaan Islam Mamalik yang berasal dari kumpulan hamba abdi.
Bukan itu sahaja, sebahagian besar tentera Tatar akhirnya memeluk Islam. Kebanyakan mereka adalah dari tentera yang asal menakluk tanah arab, dan sebahagian yang masuk ke India.
Masjid Rusila
20 Jumadal Ula 1438
17 Februari 2017

"ISRAEL ROBOHKAN RUMAH RAKYAT PALESTIN"

Penduduk Palestin mula hidup dalam keadaaan cemas dan takut berikutan pihak berkuasa Israel telah memulakan telah memulakan proses penggalian bagi menjalankan projek “Jalan Raya Amerika” yang bakal dididirikan diatas runtuhan rumah mereka.
Demikian menurut beratus-ratus rakyat Palestin yang tinggal di kawasan Jabal al-Mukaber terletak di Timur Baitulmuqaddis.
Jalan raya yang diberi nama Al-Touq itu merentasi Timur dan Barat Jerusalem dengan tidak menyatakan sebarang tujuan menghubungkan penempatan haram Israel di belah Utara, Selatan dan Timur Bandar.
Pembinaan jalan raya tersebut, majlis perbandaran Jeruslem bakal merampas kira-kira 300 ekar tanah di 12 kawasan perumahan Palestin terletak di Jabal Al-Mukaber.
“Kita hidup dalam keadaan takut untuk selama-lamanya.
“Ia seperti kami hidup dalam dua dunia yang berbeza.
“Di kawasan-kawasan Palestin, ia adalah seperti hidup dalam dunia ketiga, sementara mereka yang tinggal di penempatan yang dibina di atas tanah Jabal al-Mukaber ditawarkan kehidupan yang selesa seperti negara dunia pertama, ” jelas al-Sawahra kepada Al Jazeera.
Menurut seorang Peguam di Jawatankuasa Pertanahan untuk hartanah Jabal Al-Mukaber, terdapat kira-kira 57 rumah, 500 perumahan rakyat Palestin bakal dirobohkan untuk menyiapkan “Jalan Amerika”.
Tambahnya, mereka terkejut mendengar mengenai projek itu, lebarnya lebih kurang 32 meter, dengan tambahan 32 meter di sisi.
Semua rumah, termasuk lama dan baru, yang didirikan di jalan jalan, akan dirobohkan.
Selain itu, seorang pegawai undang-undang Adalah berpangkalan di Haifa turut menjelaskan bahawa peta untuk projek yang dirancang menunjukkan bahawa jalan tersebut adalah untuk Israel dan kawasan penempatan Israel sahaja.
Jelas beliau, pelan tersebut akan menyebabkan jalan-jalan yang menghubungkan kawasan-kawasan perumahan Palestin di Jerusalem terputus
Justeru akan mengubah struktur geografi serta terputus dari sudut ekonomi manjadikan ia sukar buat rakyat Palestin untuk mengakses sekolah dan pusat-pusat kesihatan, katanya kepada Al Jazeera.
Dalam pada itu, Nabeel Basheer, seorang penduduk Salaa, menyifatkan skim al-Touq sebagai mengelirukan.
“Projek tersebut sedang dipromosikan sebagai sesuatu yang akan memberi manfaat kepada rakyat Palestin Timur Jerusalem.
“Tanpa menyebut hakikat bahawa ia akan melibatkan perobohan rumah-rumah, dan matlamat utamanya untuk menghubungkan penempatan,” kata Nabeel Basheer.
Israel sering menggunakan perobohan rumah untuk mengawal dan menghukum rakyat Palestin yang hidup di bawah pendudukan di Timur dan Tebing Barat Baitulmuqaddis.
Sejak tahun 1967, apabila Israel menduduki wilayah Palestin, sekurang-kurangnya 48,000 rumah rakyat Palestin dan struktur rumah telah dirobohkan.
Pautan asal: http://www.aljazeera.com/indepth/features/2017/02/israel-settlements-road-cut-east-jerusalem

"Penyakit Popularisme Semakin Menular Dalam masyarakat islam"

 Populisme boleh difahami dengan dua sudut iaitu politik dan ghairah terhadap populariti. Kedua-dua sudut itu hampir sama dari sudut mendapatkan kepercayaan dan populariti bagi meraih undi yang tinggi.
Pengamal politik populisme akan bertemu dengan kelompok lain terutamanya kelompok yang mempunyai prospektif undi yang tinggi bagi mendapatkan sokongan melalui konsensus politik. Golongan populis akan membuat tawar menawar yang digelar bilateral atau ‘win-win situation. Perjanjian ini tampak baik dari sudut meraih sokongan tetapi perjanjian ini merupakan penyakit golongan Populis yang akan melepaskan prinsip dan dasar perjuangan.
Di zaman Millenium ini, penyakit Populisme ini telah berjangkit dalam gerakan Islam. Perjuangan Islam jadi gadaian untuk mendapat sokongan orang ramai. Konsep negara Islam dan perjuangan Syariat Islam menjadi tawar-menawar dengan kelompok Sekular dan Liberal bagi meraih sokongan dan membentuk pakatan. Mereka berhujah bahawa Populis ini mereka tiada pilihan dalam negara demokrasi melainkan menerima Sekular dan Liberalisme, serta menolak perjuangan Islam.
Lalu, mereka memilih ‘demokrat’ dan membuang perkataan ‘Islam’ dalam perjuangan dan parti mereka.
Gerakan Islam seumpama ini berpenyakit Populis yang tiada bezanya dengan Sekularis dan Liberalis yang lain. Walaupun, kalimat mereka masih menggunakan kalimat Islam seperti keterbukaan Islam dan Maqasid Syariah, mereka sebenarnya adalah golongan Sekular dan Liberal. Mereka hanya mengubah nama mereka kepada ‘Muslim Demokrat’ tetapi sebenarnya mereka adalah penganut Sekular dan Liberal yang tegar.
Mereka ini sebagaimana disebut dalam Surah al-Nur:

وَإِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ مُعْرِضُونَ
وَإِنْ يَكُنْ لَهُمُ الْحَقُّ يَأْتُوا إِلَيْهِ مُذْعِنِينَ
أَفِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ أَمِ ارْتَابُوا أَمْ يَخَافُونَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَرَسُولُهُ ۚ بَلْ أُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
(QS al-Nur 24: 48-50)

Maksudnya:
Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya, agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebagian dari mereka menolak untuk datang. Tetapi jika keputusan itu untuk (kemaslahatan) mereka, mereka datang kepada rasul dengan patuh. Apakah (ketidak datangan mereka itu karena) dalam hati mereka ada penyakit, atau (karena) mereka ragu-ragu ataukah (karena) takut kalau-kalau Allah dan rasul-Nya berlaku dzalim kepada mereka? Sebenarnya, mereka itulah orang-orang yang dzalim.
Mereka mempunyai penyakit hati yang tidak berkeyakinan terhadap Islam dan Syariat Islam. Mereka hanya menerima perjuangan Islam apabila mempunyai kepentingan atau kemaslahatan kepada diri mereka sahaja. Oleh itu, ayat di atas sangat jelas menempelak mereka yang menggunakan nama perjuangan Islam sedangkan mereka mengutamakan kepentingan politik sahaja bukan kepentingan Islam dan politik Islam.
Penyakit ini juga hampir sama dengan sekumpulan anak gerakan Islam yang ghairah terhadap populariti diri sehingga gerakan Islam menjadi mangsa. Tanpa mandat dari gerakan Islam, mereka memulakan anisiatif sendiri bagi bermuafakat dengan golongan Sekular dan Liberal. Lalu terjadilah perjanjian terlarang di belakang tabir yang mengakibatkan gerakan Islam bakal tersepit dan terpedaya dengan permainan licik musuh yang menawarkan janji manis dan habuan lumayab.
Golongan Populis dalam gerakan Islam merasionalkan tindakan mereka atas dasar strategi dan taktikal politik. Mereka berhujah bahawa politik dipenuhi dengan penipuan dan helah. Malah, politik tidak harus dilihat lurus tetapi dipenuhi dengan pelbagai jenis sisi gelap yang bakal merosakkan imej gerakan Islam. Sebenarnya, politik mereka adalah politik Populis yang menggadaikan prinsip Islam. Politik mereka juga adalah politik khianat yang mengkhianati kemurnian Islam semata-mata keuntungan peribadi atau keuntung kelompok.
Politik Populis dalam gerakan Islam telah meletakkan imej gerakan Islam dalam keadaan bahaya. Kegairahan populariti politik menjadikan mereka seakan-akan dua wajah iaitu politik Islam di sebelah muka kanan dan politik Sekular di sebelah muka kiri. Maka terjadilah politik talam dua muka dan lidah bercabang mempertahankan maruah diri.
Golongan sebegini dapat dikenali dengan sikap mereka yang sangat terumbang ambing apabila tersepit antara kemurnian Islam dan laba politik. Mereka juga dapat dikenali dengan kesukaan mereka terhadap budaya popular. Mereka akan bersama-sama dengan tokoh popular dan artis ternama untuk mendapat perhatian dari orang ramai. Mereka juga tidak segan untuk muncul dalam program-program popular termasuklah program realiti.
Mereka sangat ghairah terhadap populariti a.k.a. ‘hubbu shuhroh’ yang membinasakan diri dan gerakan Islam. Penyakit ini sangat memberi kesan terhadap mereka agar menonjol diri apabila diberi sokongan. Akhirnya, penyakit ini memusnahkan diri sehingga menunjukkan sikap bongkak dan Narsisistik (keakuan). Malah, mereka juga bakal merosakkan gerakan Islam gara-gara keghairahan terhadap populariti dan sokongan orang ramai.
Dr. Muhammad Atiullah bin Othman
*Tulisan ini sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara).